PERSOALAN : Bolehkah isim jamid الأم menjadi sifat?
JAWAPAN : Ya, boleh. Isim jamid boleh menjadi sifat / na’at sekiranya ada ruang membolehkan ia ditakwil sebagai isim musytaq. Misalnya kalimah الأم (ibu) di sini, takwilnya ialah اللغة المشبهة بالأم.
Bahasa yang dimaksudkan di sini adalah bahasa yang diumpamakan seperti ibu. Membesar dalam dakapan ibu dan juga membesar dalam persekitaran bahasa tersebut. Jadi asalnya ialah اللغة المشبهة بالأم / أُمًّا, kemudian diringkaskan menjadi اللغة الأم.
Sama juga seperti جاء رجل أسد. Kalimah أسد di’irab sebagai na’at / sifah dan takwilnya adalah رجل مشبه أسدا atau شجاع. Kata Ibn Malik :
وَانْعَتْ بِمُشْتَقٍّ كَصَعْبٍ وَذَرِبْ # وَشِبْهِهِ كَذَا وَذِي وَالمُنْتَسِبْ
“Jadikan salah satu dari berikut sebagai na’at, (1) isim musytaq, (2) isim jamid yang menyerupai isim musytaq seperti ذا isim isyarah, (3) kalimah ذو yang membawa maksud صاحب dan (4) isim yang dimasuki ya’ nisbah.”
ATAU ;
.. boleh juga dii’rab sebagai ataf bayan (عطف بيان) kerana perkataan الأم selain bermaksud الوالدة “yang melahirkan [ibu]”, ia juga membawa maksud الأصل. Jadi اللغة الأم bermaksud اللغة الأصل. Perkataan الأم (asal) adalah kalimah yang menerangkan bahawa (اللغة) yang dimaksudkan adalah bahasa asal, bukan bahasa kedua, ketiga dan seterusnya. Jadi perkataan الأم adalah عطف بيان yang menjelaskan perkataan اللغة sebelumnya.
Untuk makluman, dari sudut menerang, menjelaskan dan mengkhususkan ‘ataf bayan (عطف بيان) sama seperti na’at. Kata Ibn Malik,
فذو البيان تابع شبه الصفة # حقيقة القصد به منكشفة
“Ataf yang membawa fungsi “bayan” adalah tabi’ (تابع) yang menyerupada sifat (صفة). Dengannya akan tersingkapkah hakikat sesuatu tujuan”.
Contoh ‘atof bayan ialah وإذ قال إبراهيم لأبيه آذر. Perkataan آذر adalah ataf bayan yang menerangkan siapakah hakikat أبيه di situ.
SOALAN : Adakah rangkai kata يتضمن حروفا أصولا betul?
JAWAPAN : Ya betul. Perkataan أصولا di sini adalah ataf bayan kerana ia adalah isim jamid yang menerangkan kalimah sebelumnya, iaitu حروفا dan kalimah أصول di sini sukar ditakwilkan sebagai isim musytaq. Kita tidak boleh berkata حروف مشبهة بالأصول kerana huruf-huruf itu memang usul (komponen dasar) bukan “seperti”. Oleh kerana itu, kita tidak boleh mengi’rabnya sebagai sifat / na’at kerana syarat isim jamid di’irab sebagai na’at adalah ia mestilah boleh ditakwil sebagai isim musytaq. I’rabnya ialah ataf bayan (عطف بيان). Boleh tak kalau kita nak jadikannya sifat juga? Boleh, dengan menukarkan perkataan أصول kepada أصلية (المنتسب). Kita kata, حروفا أصلية.
SOALAN : Bolehkah ‘ataf bayan nakirah dan ma’tufnya pun nakirah? Kedua-duanya nakirah ?
JAWAPAN : Boleh. Kata Ibn Malik,
فَقَدْ يَكُونَان منَكَّرَيْنِ # كَمَا يَكُونَانَ مُعَرَّفَيْنِ
“Boleh jadi kedua-duanya (ataf bayan dan matbu’nya) hadir dalam bentuk nakirah sepertinya kedua-duanya hadir dalam bentuk makrifah”.
Firman Allah s.w.t, ويسقى من ماء صديد. Perkataan صديد di sini adalah isim jamid yang bermaksud “nanah”. Jangan silap, ia bukan sifah musyabbahah atau wazan فعيل. Ada dua cara mengi’rabkannya.
Pertama : Ataf bayan. Alasannya adalah kalimah صديد adalah isim jamid yang tidak boleh ditakwilkan. Sebab dengan mentakwilkannya akan mengubah makna.
Kedua : Sifat / na’at. Alasannya adalah kalimah صديد adalah isim jamid yang boleh ditakwil. Takwilnya ialah ماء مشبه بالصديد atau ماء مثل صديد.
ULASAN : Kedua-duanya boleh di’rab dan kedua-duanya membawa maksud yang berbeza. Jika di’irab sebagai عطف بيان maka air tersebut (ماء) adalah nanah. Manakala di’irab na’at, maka maksudnya adalah ماء مثل صديد “air seperti nanah”.
Tujuan saya menyebut ayat al-Quran ويسقى من ماء صديد ini hanya untuk memberi contoh isim nakirah diirab sebagai ataf bayan dan ma’tufnya pun isim nakirah. Keharusan isim nakirah diirab ataf bayan ini adalah pendapat sebahagian ulama Nahu termasuk Ibn Malik.
No comments:
Post a Comment