Sunday, 27 December 2020

Jangan Disamakan Idea-Idea Yang Rumit, Tinggi Dan Dalam Dengan Kebenaran



Pemuka-pemuka syirik dizaman Nabi Nuh a.s bersembunyi disebalik ketinggian/kematangan/sophistication/complexity/keluasan/kedalaman aqal dan pandangan mereka lalu memandang rendah golongan yang mengikut Nabi Nuh a.s serta menghina mereka sebagai orang-orang yang simple-minded atau 'Baadiy Ar-Ra'y'.

Keterpesonaan mereka dengan kedalaman, keluasan dan ketinggian fikiran serta ilmu mereka telah membutakan mata mereka daripada melihat kebenaran dan melupakan mereka akan tujuan ilmu dan berfikir itu sendiri.

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ

"Maka berkatalah golongan kenamaan/bangsawan/pemuka yang kafir dari kaumnya (Nuh a.s): Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang yang rendah dikalangan kami, lagi berfikiran singkat (simple-minded) dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta." - Hud : 27

Tujuan mencari ilmu dan berfikir itu bukanlah untuk 'appear sophisticated', tetapi untuk mencari dan memahami kebenaran dan membuat pilihan yang betul dalam kehidupan supaya mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Kebenaran-kebenaran yang besar-besar dan asasi seperti yang diajarkan Islam itu dapat difahami oleh minda-minda yang besar mahupun kecil, yang mampu berfalsafah ataupun tidak, yang kuat membaca ataupun tidak. Syarat yang harus dimiliki oleh semua hanya satu, yaitu ikhlas dalam berfikir untuk mencari kebenaran. Ini adalah salah satu daripada rahmat-rahmat Allah s.w.t yang sangat besar.
Sebagaimana kebenaran itu boleh dihijab oleh kebodohan dan kejahilan, ia juga boleh terhijab oleh "kepandaian" (yang mana hakikatnya ia juga adalah satu bentuk kebodohan jua), ia boleh terhijab kerana kemalasan membaca, ia juga boleh terhijab kerana tenggelam didalam kandungan idea-idea dan kitab-kitab yang rumit sehingga kebenaran yang mudah tidak lagi dia pandang atau hargai, akhirnya disamakan pula 'simplicity' dengan kebodohan dan 'sophistication' dengan hikmah dan kesarjanaan.
Kita mendapati bahawa slogan "dalam, tinggi dan susah untuk difahami untuk orang awam" pernah digunakan untuk menyeludup masuk racun-racun aqidah kedalam fikiran umat. Jangan lupa akan hujahan golongan munafiqun (yang mengaku masuk Islam tetapi hakikatnya tidak) dizaman awal peluasan empayar Islam (hingga ke hari ini) dari kalangan orang-orang yang terpelajar dengan falsafah Parsi, Hindu dan Yunani, mereka memandang rendah 'the simplicity of Islam', mereka mengejek umat Islam Arab pada waktu itu sebagai berfikiran primitif yang datang dari padang pasir tanpa apa-apa pengalaman membina tamadun yang hebat, sedangkan mereka pula sudah sangat berpengalaman dengannya, mereka suntik tafsiran kefalsafahan (yang mengandungi aqidah lama) mereka yang "tinggi dan dalam" kedalam tafsiran Al-Quran dan Sunnah sehingga yang lemah iman dan aqal dikalangan umat Islam pada waktu itu merasa malu dengan ‘the simplicity of Islam’ dan akhirnya menjadi duta-duta mereka dalam memasukkan falsafah yang telah terbukti gagal untuk mentamaddunkan manusia dengan sebenar-benar ketamadunan itu kedalam Turaath keagamaan kita.

Sedarlah wahai umat Islam, ketamadunan mereka yang "tinggi, dalam, complex dan sophisticated" itu tidak membawa apa-apa manfaat yang besar untuk mereka, bahkan hakikatnya mereka terhijab daripada kebenaran kerananya.

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا الْأَرْضَ وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ ۖ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

"Tidakkah mereka berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang/tamadun mereka itu lebih kuat daripada mereka (Musyrikun Quraisy) sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri." - Rum : 9

Namun, jangan diabaikan hakikat bahawa manusia dijadikan Allah s.w.t secara berderajat dari segi kemampuan aqal, jiwa, tubuh dan sebagainya. Tetapi ini tidak sesekali bermakna bahawa yang lebih tinggi kemampuan aqalnya itu pasti diredhai Allah s.w.t berbanding yang tidak. 

Kehancuran yang dibawa oleh penyamarataan semua manusia tidak banyak bezanya dengan kehancuran yang dibawa oleh sistem kasta, kedua-duanya membawa kacau-bilau dan merosakkan Mizan (Neraca) keharmonian alam ini. Maka itu, letakkanlah semua perkara pada tempatnya yang betul. 

Posting ini bukanlah berniat untuk menafikan keperluan yang besar kepada penguasaan ilmu yang dalam, luas dan tinggi, tidak, tetapi kita harus sedar bahawa hakikat ini juga harus diletakkan pada tempatnya yang betul. Ada yang rumit tetapi benar dan ada juga yang mudah tetapi batil. Jangan disamakan 'complexity & sophistication' mahupun 'simplicity' dengan kebenaran dan kebijaksanaan. Jauhkan ta'assub, terimalah kebenaran tidak kira daripada mana ia datang dan tolak kebatilan dari siapa pun ia datang. 

Kedalaman dan ketinggian aqal serta ilmu yang sebenar adalah pada kemampuan menerima kebenaran dan mengikutinya, rumit ataupun tidak.

No comments:

Post a Comment