“Ilmu ada 2 jenis, ILMU KASBI (USAHA) iaitu ilmu yang kita usahakan belajar dan ILMU WAHBI (ANUGERAH) iaitu ilmu yang Allah anugerahkan kepada kita setelah kita beramal dengan ilmu KASBI. Ilmu Wahbi ni dia datang tanpa diundang. Sebab tu, ambo sebelum mengajar akan baca dulu kitab dan mesti ada buku nota di tepi. Tengah baca tu kadangkala Allah buka macam-macam idea pada nass yang kita baca. Lepas bertahun bila buka balik buku nota tu, ambo pun terkejut dengan idea yang Allah beri.”
Perkataan LADUNNI bermaksud ILMU TERUS DARI SISI-KU. Ia adalah ilmu yang Allah kurniakan kepada Khidir dalam surah al-Kahf:
فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ - لَدُنَّا - عِلْمًا
Ertinya: Lalu mereka dapati seorang daripada hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, DAN KAMI TELAH MENGAJARNYA SEJENIS ILMU; “DARI SISI KAMI” (al-Kahf 18:65).
Dari segi istilah, ia kemudiannya dipanggil ILMU LADUNNI, ILMU WAHBI ATAU MAWHUB. Soalannya, adakah ilmu ini boleh muncul pada orang lain selain Khidir? Ayuh kita bincang.
Pertama sekali perlu diingat ilmu perlu dicari dengan susah payah, penat lelah, perit jerih. Itu Sunnatullah atau Sains alam yang wajib kita sedari. Itulah tradisi para ulama dan ILMU INI DIPANGGIL ILMU KASBI (HASIL USAHA). Setelah ilmu dicari dan diamalkan, Allah akan buka pintu kefahaman yang lebih mendalam. Kadangkala satu nas difahami orang ramai secara ringkas tapi orang yang lebih bijak serta jernih hatinya melihat sudut lain. Ini dijelaskan firman Allah:
وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Ertinya: Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan Allah akan mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan setiap sesuatu (al-Baqarah 2:282).
Perlu diingat dan dihadam, nak dapat taqwa seperti ayat di atas pun perlu ilmu kerana ilmu yang membuahkan taqwa.
Ketika meletakkan syarat ilmu yang perlu dimiliki seseorang yang mahu mentafsirkan al-Quran, para ulama’ menyenaraikan 14 bidang ilmu kasbi (Bahasa Arab dengan segala cabangnya, Sirah, Usul Fiqh, Tafsir, Hadith, Akidah, Nasikh Mansukh dan sebagainya). Selepas 14 ilmu KASBI disenaraikan, barulah ILMU WAHBI/MAWHUB dimasukkan dalam kedudukan ke 15 (Rujuk al-Tafsir Wa al-Mufassirun, Dr Muhd Husayn al-Dhahabi, jil 1 hal 189-191, cetakan Maktabah Wahbah).
Kenapa perlu begitu? Tidak lain sebagai suatu “PERINGATAN” kepada kita bahawa BUKAN SEMUA LINTASAN RASA DALAM HATI KITA ITU DATANGNYA DARI ALLAH ATAU PARA MALAIKAT. SYAITAN SUDAH LAMA BERKECIMPUNG DALAM “ARENA SESAT MENYESATKAN ANAK ADAM.” Tanpa 14 ilmu KASBI terdahulu, mana mungkin kita tapis “DAKWAAN ILMU LADUNNI” yang melintas ke dalam minda kita?
Bagaimana agaknya ilmu Ladunni, Wahbi atau Mawhub itu? Ayuh kita lihat contoh ini. Allah berfirman:
فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَافَ رَسُولِ اللَّهِ وَكَرِهُوا أَنْ يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَالُوا لَا تَنْفِرُوا فِي الْحَرِّ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا لَوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ
Ertinya: Orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), DAN MEREKA PULA (MENGHASUT DENGAN) BERKATA: "JANGANLAH KAMU KELUAR BERAMAI-RAMAI (UNTUK BERPERANG) PADA MUSIM PANAS INI". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang yang memahami (al-Tawbah 9:81).
Biasanya ayat ini difahami dengan maksud celaan Allah kepada orang munafiq yang bersila panggung bergembira mentertawakan Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang meredah musim panas tahun ke 9 Hijri ke medan Tabuk. Perjalanannya pula bukan dekat, bahkan mencecah lebih 600 km. Itu kefahaman orang biasa di sebalik ayat ini.
Tiba-tiba Imam al-Suyuti DIBUKA KEFAHAMAN LAIN TERHADAP AYAT INI yang langsung kita tak terfikir. Menurutnya ayat di atas menunjukkan ADA AYAT AL-QURAN YANG TURUN DALAM MUSIM PANAS. Selain itu, beliau juga menyatakan ayat al-Quran bukan sekadar MAKKI (ayat yang turun di Mekah) atau MADANI (ayat yang turun di Madinah), tetapi merangkumi SAYFI (AYAT YANG TURUN PADA MUSIM PANAS), Syita’i (turun pada musim sejuk), Layli (turun pada waktu malam), Nahari (turun pada waktu siang), Safari (turun ketika Rasulullah bermusafir), Hadhari (turun ketika Rasulullah berada atau hadir di Madinah), Ardi (turun di bumi), Sama'i (turun di langit) dan sebagainya (Rujuk Kitab al-Itqan Fi ‘Ulum al-Quran karya beliau pada jenis keempat perbincangan tentang al-Quran).
Contoh ayat musim sejuk adalah hadith yang disebut Ummul Mukminin Aishah RA, Nabi berpeluh jantan ketika ayat al-Quran turun pada Baginda PADA MUSIM SEJUK:
عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَأْتِيكَ الْوَحْيُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِي الْمَلَكُ رَجُلًا فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ يَنْزِلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فِي الْيَوْمِ الشَّدِيدِ الْبَرْدِ فَيَفْصِمُ عَنْهُ وَإِنَّ جَبِينَهُ لَيَتَفَصَّدُ عَرَقًا
Ertinya: Aishah menceritakan pada suatu hari al-Harith bin Hisyam RA bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimana wahyu datang kepadamu?” Baginda menjawab: “Kadang kala wahyu datang kepadaku seperti bunyi pukulan loceng....... menyambung: “Aku pernah lihat wahyu turun kepada baginda PADA HARI YANG SANGAT SEJUK. Setelah wahyu selesai, dahi baginda bermandi peluh.” (Sahih al-Bukhari & Muslim).
Pandangan Imam al-Suyuti tentang pembahagian di atas BUKANLAH BENDA ASING DARIPADA NASS. Ia disebut terang dalam Nass cuma mata hati kita tak nampak sudut pandang beliau kerana keterbatasan ilmu serta kebersihan hati kita.
Ini contoh mudah nak memahami ILMU LADUNNI, WAHBI atau MAWHUB. Ia bukanlah ilmu asing yang tiada dasar daripada 14 bidang ilmu KASBI terdahulu. Masalah timbul apabila ada manusia yang masih “bertaraf tadika” dalam ilmu agama tapi sudah mendakwa dilimpahi ilmu ladunni.
Usahkan nak membezakan antara campakan “Futuhat daripada Allah” atau “campakan racun daripada syaitan”, nak membezakan antara huruf al-Quran pun masih keliru. Huruf dhal ( ذ) dibaca Zhay (ز). Tambah parah, jika si pendakwa Ladunni langsung tak mampu membaca al-Quran atau tidak memahami bahasa Arab yang menjadi bahasa utama ilmu-ilmu Islam. Semoga Allah selamatkan kita semua daripada tipu daya syaitan dalam “karung beracun ilmu ladunni.”
Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim al-Hafiz.
2 November 2020.
No comments:
Post a Comment