Pencerahan itu (perbuatan) seseorang meninggalkan ketidakmatangan yang disebabkan oleh dirinya sendiri. Ketidakmatangan itu ialah ketidakmampuan (seseorang) untuk menggunakan kepintarannya tanpa panduan daripada orang lain. Ketidakmatangan ini disebabkan oleh diri sendiri -yang kalaulah ia tidak disebabkan oleh tiadanya kepintaran- akan tetapi (disebabkan) oleh tiadanya keazaman dan keberanian (seseorang itu) untuk menggunakan kepintarannya tanpa panduan daripada orang lain. Sapere Aude! (Beranilah untuk tahu!) Beranilah untuk menggunakan kepintaranmu sendiri; inilah yang menjadi moto kepada pencerahan itu.
Kerana kemalasan dan sifat pengecut, sebahagian besar daripada kemanusiaan ini, meskipun selepas alam semulajadi (nature) membebaskan mereka daripada panduan asing, tetaplah kekal menjadi tidak matang. Hal ini kerana, kemalasan dan sifat pengecutlah yang memudahkan orang lain untuk merampas tugas sebagai pelindung. Alangkah selesanya menjadi si kecil! Sekiranya saya memiliki sebuah buku yang mengurniakan makna kepada saya, seorang paderi yang memikirkan tentang saya, seorang doktor yang menilai pemakanan saya buat saya, dan seterusnya, maka, tak perlulah saya untuk menyusahkan diri sendiri. Saya tidak perlu memikirkan apapun. Sekiranya saya mampu membayar, orang lain akan menanggung kerja-kerja yang memenatkan buat saya. Para pelindung yang dengan baik hatinya melakukan tugas menyelia akan menyaksikannya (selesai sebegitu); hal yang menyebabkan sebahagian besar daripada kemanusiaan, termasuklah keseluruhan ‘hubungan kelamin yang indah’ itu, menanggap bahawa maju melangkah ke arah kematangan itu bukan setakat susah, tetapi juga amat merbahaya.
Setelah mereka (para penjaga) membuat binatang ternak mereka menjadi bodoh, dan dengan berhati-hati sekali menghalang makhluk-makhluk yang diam ini daripada berani maju selangkah melangkaui belenggu timah yang diikat pada mereka, para penjaga ini kemudiannya memperlihatkan kepada mereka akan marabahaya yang bakal mengancam diri mereka sekiranya mereka cuba untuk berjalan sendiri. Kini, marabahaya itu tidaklah sebesar mana, kerana tentu saja mereka akan belajar berjalan sesudah beberapa kali jatuh tertumbang. Akan tetapi, contoh seperti ini tetaplah mematahkan semangat, dan menakutkan orang daripada melakukan percubaan seterusnya.
Sememangnya sukar untuk individu-individu yang terasing untuk menghapuskan ketidakmatangan pada dirinya, di mana ia (ketidakmatangan itu) hampir saja menjadi semulajadi (natural) pada dirinya. Dia amat selesa dengannya (ketidakmatangan itu), dan pada waktu ini, dia belum mampu untuk menggerakkan kepintarannya sendiri, kerana dia belum pernah diizinkan untuk melakukan percubaan tersebut. Statut (undang-undang) dan formula, perkakas mekanika ini yang memanfaatkan ataupun sepatutnya telah menyalahguna fakulti-fakulti (kekuatan dirinya) yang semulajadi, adalah belenggu kaki (yang menyebabkan) ketidakmatangan yang berlarutan. Sesiapa yang membuangnya (belenggu tersebut) akan melakukan loncatan yang teragak-agak melangkaui rekahan terkecil, kerana dia belum biasa dengan pergerakan yang sebebas itu. Oleh kerana itu, hanya ada segelintir sahaja yang telah menelusuri jalan yang kukuh dan telah berjaya membebaskan diri daripada ketidakmatangan, dengan cara melestarikan (cultivation) minda mereka dengan sendiri.
Akan tetapi, lebih mungkinlah untuk sesuatu publik (lingkungan masyarakat) untuk men’cerah’kan dirinya sendiri; di mana hal ini tidak akan dapat dielak sama sekali, hanyasanya sekiranya publik itu diberikan kebebasannya sendiri. Kerana, tetap akan ada orang yang berfikir untuk dirinya sendiri, meskipun dalam kalangan para penjaga yang melantik dirinya sendiri (sebagai penjaga) buat orang awam, yang, setelah menghapuskan ketidakmatangan itu sendirinya, akan menyebarluaskan semangat penilaian diri sendiri dengan cara yang rasional, dan (akan menyebarkan kesedaran) betapa pentingnya setiap seorang itu untuk memikirkan buat dirinya sendiri...Sesuatu publik itu hanya akan mampu tiba kepada pencerahan dengan perlahan-lahan. Melalui revolusi pula, meninggalkan despotisme (penindasan) yang bersifat peribadi boleh jadi menarik perhatian, serta, penghapusan segala penindasan yang mengaut keuntungan dan yang angkuh boleh pula terjadi, namun, tidak sesekali (akan mencapai) reformasi hakiki bagi minda. Sebaliknya, prejudis baru, sepertimana yang dahulu, akan bertindak menjadi ‘tali’ yang membimbing orang ramai yang tidak berfikir.
Yang diperlukan untuk pencerahan ini hanyalah kebebasan. Dan yang khususnya, yang paling kurang bahayanya antara kesemuanya perkara yang dinamakan sebagai kebebasan ini, yakni, kebebasan bagi seseorang untuk menggunakan pertimbangan rasionya dalam kesemua perkara, secara terbuka. Akan tetapi, saya mendengar ada orang berteriak daripada segenap penjuru: Jangan membantah! Pegawai akan berkata, “Jangan bantah, buatlah latihan!” Pengutip cukai (berkata), “Jangan bantah, bayar saja!” Paderi (berkata), “Jangan bantah, percaya saja!”...Di sini, kita dapati pelbagai kekangan akan kebebasan di serata tempat. Mana satukah kekangan yang membantutkan pencerahan, mana satukah yang tidak (membantutkannya), dan yang mana satukah yang menyokongnya pula? Saya menjawab: Penggunaan pertimbangan akal manusia secara publik (secara terbuka) mestilah bebas dilakukan pada sepanjang masa, dan, ini sajalah caranya pencerahan akan mampu dibawakan kepada seluruh manusia...
Saya maksudkan dengan ‘penggunaan pertimbangan akal manusia secara publik (secara terbuka)’ ialah dengan cara di mana seorang sarjana menggunakannya, sebelum seluruh publik yang berpelajaran...
Soalan yang boleh diajukan sekarang: Adakah kita hidup sekarang ini dalam zaman yang telah mengalami pencerahan? Jawapannya ialah: Tidak, akan tetapi, sedang di dalam zaman pencerahan. Banyak lagi perkara yang menghalang manusia untuk ditempatkan pada posisi, di mana mereka mampu menggunakan minda mereka dengan selamatnya dan sebaiknya dalam urusan agama. Akan tetapi, kita tetaplah memiliki beberapa indikasi yang tetap, bahawa lapangan ini sedang dibuka untuk orang ramai, agar mereka bekerja (menggunakan minda) dengan bebas, dan, secara perlahan mengurangkan kekangan yang menghalang daripada pencerahan yang bersifat umum, dan melepaskannya pula daripada ketidakmatangan yang disebabkan dirinya sendiri.
***
(9.12.2020) – Syafiq atTauhidi, Maktabah atTauhidi, Sabah.
(saya mengizinkan terjemahan ini dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja. secara percuma. boleh diterbitkan dalam pdf dll cara simpanan dengan syarat meletakkan nama penterjemah)
No comments:
Post a Comment